KUALA LUMPUR, 5 NOV – SALAH SENDIRI…..Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, mempertahankan kenyataannya yang didakwa pembangkang sebagai rasis dan bertentangan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Salahuddin menjelaskan, kenyataannya pada sesi tertutup di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chiao, berhampiran Tanjung Piai, semalam, hanya peringatan supaya PAS dan UMNO berhenti memainkan sentimen perkauman dan agama melampau.

Beliau menegaskan, situasi huru-hara boleh berlaku jika parti politik serta kumpulan tertentu memainkan sentimen perkauman, membudayakan amalan takfiri serta menuduh kumpulan yang tak sehaluan sebagai munafik.

“Semalam dalam satu ceramah Barisan Nasional (BN) di Tanjung Piai, ada penceramah di markas atau di bilik gerakan BN mengatakan calon MCA kafir zimmi, dan menuduh orang yang bukan Islam di pihak lain sebagai kafir harbi.

“Saya nak tanya (calon BN, Datuk Seri Dr) Wee Jeck Seng, adakah dia gembira dengan kenyataan sebegitu? Kafir sana sini, zimmi, harbi. Itu peringatan saya supaya jangan ada ucapan seperti ini yang akan menimbulkan isu takfiri, yang menjahanamkan sebahagian besar negara Islam di Asia Barat.

“Malah, ada parti yang mendakwa sebagai parti agama di negara kita, terus memainkan isu kalau tak ikut kumpulan mereka, tak masuk syurga dan kumpulan lain masuk neraka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, video ucapan Salahuddin ketika bertemu wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Pei Chiao, tersebar di media sosial, yang antara lain menyebut negara akan huru-hara jika mereka memberi kuasa kepada BN yang bersahabat dengan PAS.

“Kita kena jaga keharmonian ketika ini. Kita boleh berniaga, bersekolah. Tiada orang tembak sana sini, bakar sana sini,” katanya dalam video itu.

Beberapa pemimpin pembangkang, antaranya Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan ucapan Salahuddin bertentangan Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai, menyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah mengungkap kenyataan rasis dan tidak pernah memohon maaf berhubung kenyataan itu.

“Beberapa bulan sebelum Operasi Lalang pada tahun 1987, Pemuda UMNO dipimpin Najib berucap ‘basahkan keris dengan darah Cina’, dan dia tak pernah minta maaf (kerana keluarkan) ucapan itu sehingga beliau jadi Perdana Menteri,” katanya.

Berhubung dakwaan beliau menyerahkan RM5,000 pada pertemuan tertutup itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu menjelaskan, ia adalah sumbangan biasa, sama yang diberikan kepada PIBG sekolah lain di luar Tanjung Piai.

“Memang kewajipan saya beri sumbangan pada semua sekolah. Tiada undang-undang melarang beri sumbangan semasa atau selepas pilihan raya. Saya menteri, saya boleh beri bila-bila masa,” katanya. – WD MY