SHAH ALAM,JUN 10: TONTON… Sambutan Aidilfitri yang kebetulan diraikan ketika kehangatan musim Piala Dunia 2018 mencetuskan idea kepada pelakon berkarakter, Shaheizy Sam untuk membawa keluarganya bercuti di Russia.

Sam berkata, impian untuk menyaksikan pasukan kegemarannya, Jerman beraksi sudah terpendam sejak Piala Dunia 2014 di Brazil, namun akhirnya tercapai apabila dia dan keluarganya akan berlepas ke Russia pada 9 Syawal nanti.

“Kami akan berada di sana sehingga bulan depan. Sebenarnya, sejak 2014 lagi, saya berhasrat mahu menonton pasukan Jerman beraksi secara langsung. Kebetulan Piala Dunia 2018 berlangsung ketika musim Syawal, saya terus memasang niat mahu bawa keluarga ke sana.

“Ikutkan perancangan, kami akan bertolak pada 9 Syawal nanti dan hanya pulang bulan depan. Memandangkan anak sudah besar sikit, jadi bolehlah kami ke sana dengan selesa,” katanya.

Sam berkata, perancangan itu dibuat memandangkan jadual penggambaran filem terbarunya hanya akan bermula Ogos ini. Justeru, kesempatan itu dimanfaatkan bintang Polis Evo untuk membawa keluarganya pergi bercuti.-MY WD