JAKARTA, 5 JULAI – SAMAN…. Kumpulan aktivis alam sekitar menyaman presiden Indonesia dan beberapa pegawai kerajaan hari ini berikutan kualiti udara di kota ini yang semakin teruk.

Jakarta, antara ibu kota paling padat serta berada di tangga 10 teratas bandar paling tercemar di dunia, kata sebuah kumpulan pemantau kualiti udara, Air Visual yang berpangkalan di Switzerland.

Tahap pencemaran di bandar dengan 10 juta penduduk itu meningkat sejak beberapa minggu ini kepada hampir lima kali ganda paras yang disarankan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA).

Seorang aktivis, Bondan Andriyanu berkata, pihaknya akan menyaman kerajaan supaya mereka menyiasat punca sebenar pencemaran dan mengambil tindakan berdasarkan hasil maklumat yang diperoleh.

“Greenpeace dan Yayasan Bantuan Perundangan Jakarta akan menyaman Presdien Joko ‘Jokowi’ Widodo, menteri alam sekitar dan menteri dalam negeri serta tiga gabenor di Pulau Jawa termasuk Jakarta,” kata Andriyanu.

Jurucakap Jokowi dan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan gagal dihubungi untuk mengulas lanjut.

Beberapa minggu lalu, paras partikel paling kecil dan paling beracun di udara dikenali sebagai PM2.5 mencecah sehingga 152 mikrogram.

EPA menganggap sebarang bacaan melebihi 35 adalah tidak sihat. – WD MY