PUTRAJAYA, 3 Okt – SAMBUTAN…. Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang akan disambut di Johor Bahru pada hujung November ini, dijangka mendapat sambutan hangat dengan kedatangan hampir 500,000 pengunjung dan lebih 350 gerai jualan akan menyertainya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata HPPNK yang disambut setiap dua tahun oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bertujuan, menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang juga penyumbang utama makanan negara, dalam memastikan sekuriti sumber makanan terjaga.

Beliau berkata, HPPNK yang bakal diadakan itu juga bertepatan dengan falsafah ekonomi negara untuk menjadi teras kemajuan kepada Malaysia pada masa akan datang.

“HPPNK ini juga begitu sinonim dengan dasar dan hala tuju kementerian yang memfokus untuk memperkukuhkan struktur dan amalan dalam tiga subsektor makanan utama negara iaitu padi, ruminan dan perikanan.

“Namun, pada masa sama pengeluaran pertanian dalam subsektor lain tidak diketepikan oleh MOA. Menerusi penganjuran HPPNK ini juga, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan pendapatan golongan sasar dan majoriti penduduk luar serta pinggir bandar dari kumpulan B40 untuk terus memacu langkah seterusnya,” katanya ketika ditemui pada pelancaran logo dan majlis countdown menjelang sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sallehhuddin Hassan dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Salahuddin serta timbalannya, Tze Tzin bersama Mohd Sallehhuddin dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman (tiga dari kanan) pada majlis countdown menjelang sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2019 di Putrajaya, semalam.

HPPNK 2019 bertemakan Makanan Kita Masa Depan Kita akan diadakan selama empat hari bermula 28 November hingga 1 Disember di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.

Program dwitahunan ini dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala penutupnya oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Salahuddin berkata, menariknya HPPNK kali ini ialah ia akan mengetengahkan kepentingan permodenan, teknologi dan inovasi dalam industri agromakanan negara, antaranya pameran penggunaan dron dalam sektor pertanian dan Internet of Things bagi menggalakkan industri pertanian beralih kepada Internet-based Agriculture.

“Pada masa sama, ia menjadi satu platform untuk peladang, penternak dan nelayan mengetengahkan hasil pertanian dan teknologi terkini serta membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat,” katanya.

Pada HPPNK 2019 itu nanti, terdapat 13 pavilion negeri dengan identiti masing-masing, hampir 400 juadah masakan dan produk pertanian lain dari seluruh negeri diperkenalkan.

Selain itu, tarikan terbaru ialah Kenduri Rakyat Nasi Ambeng, Budaya dan Seni Tani serta Job Fair menanti kedatangan pengunjung.

HPPNK kali ini membabitkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, manakala Lembaga Pertubuhan Peladang sebagai agensi pelaksana. – WD MY