KUALA LUMPUR, 2 Julai – Meriah…… Pecah rekod apabila Sambutan Hari Yoga Sedunia yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Penyertaan Paling Ramai dalam Sesi Yoga kata Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas.

Kayveas berkata sesi yoga yang diadakan selama empat jam bermula 6.30 pagi tersebut disertai 3,035 peserta.

“Syukur, hari ini kita berjaya mencatat rekod tersendiri dalam MBOR yang mana rekod sebelum ini dicatatkan oleh satu daripada penganjuran kira-kira 2,000 orang.

“Sebenarnya rekod bukanlah keutamaan kita, tapi kita dapat berkumpul bersama-sama hari ini melakukan aktiviti sihat ini dan Sambutan Hari Yoga ini sebenarnya disambut pada 21 Jun setiap tahun,” katanya kepada media selepas turut serta dalam acara tersebut.

Turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Kayveas berkata yoga merupakan aktiviti sihat yang sesuai untuk semua peringkat umur dan tidak memerlukan pergerakan yang terlalu banyak.

Sambutan Hari Yoga tersebut dianjurkan MyPPP dengan kerjasama Persatuan Sukan Yoga Malaysia, Malaysia Hindu Dharma Mamadharam, Malaysia Young Leaders Association dan Pergerakan Pemuda MIC. – WD MY