KUALA LUMPUR, 14 Okt – RANGKUL…… Wartawan Focus Malaysia, Ang Hui Hsien, merangkul tempat pertama kategori Anugerah Media Cetak (Berita dan Rencana) pada Anugerah Media Pembinaan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) 2017 (AMP 2017) malam tadi.

Artikel bertajuk ‘A River Of Opportunity’ melayakkan beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tempat kedua dimenangi Syed Jaymal Zahiid dari Malay Mail dengan artikel bertajuk ‘How A Skewed System Keeps House Prices High And Developers Rich’ membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penghargaan manakala tempat ketiga dimenangi Shalini Ravichandran dari The Star dengan artikel ‘Impeded By Poor Planning’ dan menerima hadiah RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia MPI Datuk Dr Chamil Wariya dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abd Wahab.

Bagi kategori Anugerah Media Elektronik & Online Broadcasting (Berita dan Dokumentari) tempat pertama diungguli oleh Hilal Azmi dan Samsulkamal Abdul Latip dari Astro Awani dengan tajuk berita ‘Konkrit Runtuh di KL Eco City: Seorang Maut, lima cedera’.

 

Tempat kedua pula dimenangi oleh Wan Eizzul Islam Wan Zulkifli dan Khairul Azwan Khalil dari NTV7 dengan tajuk ‘Federal Trunk Roads To Offer Unique Experience’ manakala tempat ketiga dimenangi Mohd Safwan Sawi dan Mohd Jufri Mohd Judin dari TV3 dengan tajuk ‘Transit Massa : MRT’.

Jurukamera akhbar Sin Chew Daily, Lek Kah Meng, menggungguli kategori Anugerah Fotografi menerusi gambar bertajuk ‘What A Splash Of Firework’, tempat kedua dimenangi Mohamed Sairien Mohamed Nafis dari New Straits Times dengan gambar bertajuk ‘MRT Mula Beroperasi’ dan tempat ketiga dimenangi Puspanathan Periannan dari The Star dengan gambar ‘Dirt Buster In Action’.

Fadillah dalam ucapannya berkata tahun ini, sebanyak 144 penyertaan diterima bagi AMP keempat dengan menawarkan hadiah berjumlah RM90,000 untuk karya kewartawanan pembinaan terbaik.

“Peranan media adalah amat penting dalam memberi pemahaman kepada publik terhadap agenda Transformasi Nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11,” katanya.

AMP juga sebagai platform untuk para media berkarya sekaligus membantu CIDB menghebahkan segala inisiatif dan pencapaian pembangunan kerajaan, katanya. – WD MY