KUALA LUMPUR, 16 Okt – RASMI….. Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang tiba di negara ini malam tadi untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Dataran Parlimen, pagi ini.

Ketibaan Sheikh Tamim pada jam 10 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta barisan Menteri Kabinet.

Upacara sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara, dimainkan oleh pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Sungai Besi diikuti tembakan meriam 21 das.

Sheikh Tamim kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota pangkat lain Batalion Pertama RAMD yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Beliau dan anggota rombongannya kemudian diperkenalkan kepada anggota Jemaah Menteri dan perwakilan diplomatik asing yang menghadiri upacara itu.

Ini lawatan sulung Sheikh Tamim ke negara ini sejak menaiki takhta sebagai Emir Qatar yang kelapan pada 25 Jun 2013.

Baginda juga akan diraikan dalam majlis jamuan negara di Istana Negara, hari ini.

Emir Qatar juga dijadual bertemu Najib diikuti mesyuarat delegasi di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Kali terakhir Emir Qatar melakukan lawatan ke Malaysia pada 2009 oleh Sheikh Hamad Khalifa Al Thani. – WD MY