AMPANG, 8 Mei – Samun…. Pelanggan sedang makan apabila enam lelaki yang bersenjatakan parang dan memakai topi keledar penutup penuh tiba-tiba memasuki kedai pada jam 9 malam dan selamba “mengutip” beg tangan pelanggan.

Perompak turut melarikan wang tunai dalam mesin tunai restoran.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, ketika kejadian hampir 20 pelanggan sedang menikmati makanan masing-masing.

Lelaki terbabit meluru masuk ke restoran dengan dua daripada mereka mengacukan parang ke arah pelanggan sebelum merampas beg mereka.

Kejadian kurang dari satu minit menyebabkan semua pelanggan tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang keselamatan diri dan hanya membiarkan barangan mereka diambil sebelum semua suspek melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata kejadian itu mengakibatkan pelanggan dan pihak restoran kerugian RM29,745 selepas barangan berharga serta wang hasil jualan dilarikan penjenayah.

Katanya, polis menerima panggilan daripada pemilik restoran berkenaan pada jam 9.30 malam memaklumkan premisnya disamun enam lelaki bersenjatakan parang.

“Suspek terdiri daripada enam lelaki datang ke premis itu menunggang tiga buah motosikal jenis Yamaha LC serta membawa bersama parang.

“Mereka meluru masuk dan mengacukan parang ke arah pelanggan dan pekerja terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita, sebelum mengarahkan mereka menyerahkan barang berharga serta mengambil wang tunai dari peti tunai restoran berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Hamzah berkata, usaha memburu suspek giat dilakukan dan polis sudah mengambil rakaman CCTV daripada restoran itu untuk siasatan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata. – WD MY