KUALA LUMPUR, NOVEMBER 22:KONTRAK… Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) terus mengukuhkan kehadirannya di Mexico dan Malaysia dengan memperoleh kontrak baharu bernilai RM1.75 bilion.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, antara kontrak yang dimenangi adalah kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pengangkutan, pemasangan, pra-pentauliahan dan pentauliahan (EPCIC) dekat Hokchi Field Development di Teluk Mexico oleh syarikat Mexico, Hokchi Energy S.A. de C.V.

“Skop berkenaan termasuk pemasangan platform berpusat dan platform satelit yang akan menyambungkan ke Hokchi Paraiso, sebuah kemudahan pemprosesan darat.

“Selain itu, Sapura Energy juga dianugerahkan kontrak daripada ENI Mexico S. de. R.L de. C.V bagi menjalankan kerja-kerja pesisir laut dan darat bagi Kawasan Blok Luar Pesisir 1 di Teluk Mexico.

“Di samping itu, skop ini akan membabitkan kabel gentian optik dan pengangkutan dan pemasangan platform pusat Mizton di kedalaman kira-kira 40 meter,” katanya.

Sapura Energy berkata, kejayaan lain adalah kontrak selama lima tahun bagi Perkhidmatan Bawah Air Pan Malaysia yang diberikan menerusi Kontraktor Penyusunan Petroleum (PAC).

Kontrak ini akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Sapura Energy, iaitu Sapura Subsea Services Sdn Bhd (Sapura Subsea).

PAC terdiri daripada Sarawak Shell Bhd dan Sabah Shell Petroleum Company Ltd; Murphy Sarawak Oil Co, Ltd dan Murphy Sabah Oil Co Ltd; Repsol Oil & Gas Malaysia Ltd dan Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd.

“Sapura Subsea akan menjalankan perkhidmatan bawah air termasuk penggunaan kapal, udara dan selam serta kenderaan yang dikendalikan dari jauh.

“Skop ini juga akan meliputi kerja-kerja pemeriksaan, penyelenggaraan dan pembaikan untuk menyokong kemudahan bawah air PAC di luar pesisir Pantai Timur Malaysia,” kata syarikat itu.

Kontrak baharu itu menjadikan kontrak dalam tangan syarikat itu kepada RM18 bilion dan jumlah kontrak yang diperoleh sehingga kini bagi tahun kewangan semasa kepada RM7 bilion.

Sapura Energy berkata, selaras dengan usaha syarikat untuk meneruskan pertumbuhan dan strategi dalam memanfaatkan perkembangan industri, kontrak baharu ini mencerminkan kejayaan Sapura Energy yang berterusan dalam mengembangkan pasaran teras sedia ada dan pasaran baharu.-MY WD