CYBERJAYA, 5 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
menyambut baik saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak
agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 diperkukuh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr.
Halim Shafie berkata, MCMC komited untuk memperhebatkan penguatkuasaan terhadap
mereka yang melanggar undang-undang.

“Untuk tujuan itu, MCMC telah mewujudkan sebuah pasukan penguatkuasaan
berdedikasi bagi menangani kandungan di media sosial yang telah melanggar
undang-undang ataupun yang berupaya mencetuskan kebimbangan dan kekacauan awam
agar tindakan penguatkuasaan segera dapat diambil,” katanya.

Dr. Halim menambah, langkah tersebut adalah perlu menyedari bahawa platform
tersebut kini disalah guna oleh segelintir pihak untuk menyebarkan pembohongan
dan menyemai kebencian yang memudaratkan ketenteraman awam.

“Sesetengah peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia perlu dipinda bagi
memperkasakan peranan penguatkuasaan MCMC. Sebagai contoh, penalti untuk
kesalahan-kesalahan perlu diteliti semula bagi memastikan AKM dilihat lebih
berkesan sebagai satu langkah pencegahan,” katanya.

Dr. Halim menjelaskan, pindaan kepada AKM perlu mengambil kira keadaan
persekitaran dalam talian yang sudah berubah sepanjang tempoh 17 tahun yang lalu
memandangkan Akta berkenaan digubal pada 1998. Sebagai contoh, pada 1998, media
sosial masih tidak wujud ketika itu. Untuk menangani aspek tersebut, perlu ada
klasifikasi hukuman dalam AKM serta penerangan jelas berhubung tindakan
penguatkuasaan yang diperlukan. Satu lagi trend untuk dipertimbangkan ialah para
pengguna yang menggunakan maklumat tersebut kini juga adalah pihak yang
menerbitkan kandungan.

Dr. Halim turut menegaskan, kajian semula AKM bukan hanya berkisar kepada usaha
memperkukuh keupayaan penguatkuasaan MCMC semata-mata. Malahan, banyak lagi
bahagian dalam AKM dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Akta
MCMC) yang turut dikaji mengambil kira lanskap industri Komunikasi dan
Multimedia yang sudah jauh berubah. Beliau turut melahirkan harapan kajian
semula ke atas AKM dan Akta MCMC akan mewujudkan suasana persekitaran yang sihat
dan kondusif kepada pengguna untuk menggunakan Internet secara positif, selain
menghalang pengguna menggunakan Internet untuk mencetuskan kebimbangan dan
ketidakstabilan kepada negara.

“MCMC akan meneruskan usaha memperhebat literasi media untuk mewujudkan
kesedaran dan mendidik pengguna menggunakan Internet secara positif menerusi
program-program literasi media yang sedang berlangsung ketika ini. Menyekat
akses kepada kandungan dalam Internet tidak semestinya jalan penyelesaian utama.
Orang awam mesti sedar akan kepentingan menggunakan Internet secara
bertanggungjawab dan positif. Kita harus mengelak situasi di mana majoriti
pengguna yang menggunakan Internet secara bertanggungjawab menerima kesan hanya
kerana perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna. Langkah terbaik
ialah untuk sentiasa berpegang kepada kebenaran,” kata.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY