PENAMPANG, 24 SEPT – TAHAN…. Seramai 551 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalagunaan dadah melalui Ops Tapis dan Ops Sarang yang dilaksanakan sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata kesemua individu terbabit ditahan dalam 924 operasi serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, antara kesalahan dilakukan ialah pemilikan bahan terlarang itu, selain hasil ujian saringan air kencing yang didapati positif dadah.

“Kita juga merampas dadah jenis syabu seberat 155.13 gram dianggarkan bernilai RM23,269 dan 4.28 gram ketamin (RM2,568) sepanjang lapan bulan lalu.

“Turut dirampas 3.78 gram ganja bernilai RM756 dan 1.15 gram pil ecstasy bernilai RM345 mengikut harga pasaran semasa,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Mohd Haris berkata, semua suspek yang ditahan sudah dituduh di mahkamah dan sebahagiannya sedang menjalani hukuman penjara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dalam usaha menangani aktiviti jenayah dadah dan akan terus melancarkan operasi membanteras kegiatan itu khususnya di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung kegiatan perjudian haram, Mohd Haris berkata, bagi tempoh sama, IPD Penampang turut berjaya membuka 76 kertas siasatan berhubung aktiviti berkenaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 62 adalah membabit kegiatan penjualan nombor ekor haram dan 13 kes perjudian atas talian.

“Hasil daripada serbuan dijalankan, 91 suspek berjaya ditahan, masing-masing 51 lelaki dan 40 wanita. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM18,560 dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – WD MY