SRI AMAN, 27 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata formula terbaik dan memuaskan hati semua pihak akan digunakan
untuk menangani isu penerimaan dua parti baharu – Parti Tenaga Rakyat Sarawak
(Teras) dan Parti Bersatu Sarawak (UPP) sebagai anggota Barisan Nasional (BN).

“Saya berpandukan kepada BN Sarawak kerana ia lebih kepada masalah dalam
komponen BN Sarawak, namun kita akan berhubung dengan parti-parti komponen BN
bagaimana untuk menanganinya.

“Apa yang penting adalah untuk memastikan kekuatan BN untuk menjamin
kemenangan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Tambah beliau, “Saya tahu memang ada percanggahan di kalangan parti komponen BN tetapi kita
akan menanganinya dengan cara baik untuk memuaskan hati semua pihak.”

Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan
majlis peletakan batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman yang membabitkan kos
RM200 juta, di sini.

Mengenai lawatan beliau ke Sarawak kali ini, Perdana Menteri menyifatkan ia
lebih menyeluruh kerana sempat melawat lebih banyak tempat serta berpeluang
bertemu dengan lebih ramai rakyat Sarawak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Di samping itu, lawatan ini dapat memastikan keputusan dan janji yang telah
dibuat kerajaan dapat dilaksanakan seperti pelaksanaan hospital baharu Sri
Aman yang berharga RM200 juta, katanya.

“Saya juga menerima permohonan-permohonan baharu untuk dipertimbangkan yang
boleh membantu pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY