KUALA LUMPUR, 1 Jan – SAHAM…. Pelbagai usaha untuk meyakinkan lembaga penasihat syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan pihak berkaitan menjadi cabaran utama buat Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperkenalkan instrumen senaraian awam berkaitan perkhidmatan kewangan atau saham-i berlandaskan syariah.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pihaknya giat berusaha memastikan pihak terbabit dapat menerima konsep baharu saham-i.

“Perbincangan dan pembabitan bersama mereka (lembaga penasihat syariah SC) akan terus dilaksanakan sebelum model saham-i ini direalisasikan dan diperkenalkan di pasaran.

“Kita berharap saham-i dapat direalisasikan tahun ini, namun maklumat selanjutnya biarlah Pengerusi PNB (Tan Sri Abdul Wahid Omar) mengulasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) hari ini.

Bulan lalu, Abdul Wahid dilaporkan berkata, PNB bercadang memperkenalkan saham-i yang diyakini mampu merancakkan pasaran modal berlandaskan syariah di Malaysia jika dilaksanakan.

Cadangan itu, katanya, adalah sejajar dengan usaha PNB memenuhi aspirasi berlandaskan syariah terhadap produk dan perkhidmatan ditawarkannya.

Setakat ini, ada tiga saham perkhidmatan kewangan berlandaskan syariah disenaraikan di bursa saham tempatan iaitu BIMB Holdings Bhd, Syarikat Takaful Malaysia Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dengan jumlah permodalan pasaran kira-kira RM15 bilion.

Pada majlis itu, PNB menyerahkan sijil ADAM50 kepada bayi yang dilahirkan hari ini di 30 lokasi secara serentak di seluruh negara seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Abdul Rahman berkata, ADAM50 adalah dana tabungan permulaan yang diberi kepada bayi warga Malaysia dalam tabung Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) yang dilaksanakan selama lima tahun bermula hari ini sehingga 31 Disember 2022.

Menurutnya, inisiatif PNB dan kerajaan itu bertujuan menggalak dan mendidik budaya pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sejumlah RM100 juta diperuntukkan dalam tempoh setahun bagi ADAM50 dan RM500 juta secara keseluruhan yang akan memanfaatkan kira-kira 2.5 juta bayi dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

ADAM50 adalah insentif khas pemberian unit amanah percuma bernilai RM200 yang diumumkan Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 lalu. – WD MY