KUALA LUMPUR, 4 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Majlis Apresasi Bersama Tokoh Penerima Anugerah Buku Negara 2015.

Anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) atas keperihatinan Timbalan Perdana Menteri untuk mengiktiraf dan menghargai para Tokoh Sarjana dan Penulis Buku Negara.

Ahmad Zahid juga dimajlis berkenaan menyampaikan hadiah Penghargaan kepada Tokoh Sarjana dan Penulis Buku yang menerima Anugerah Buku Negara 2015.

Kerajaan mensasarkan supaya penerbitan buku tempatan berjaya memperolehi Hadiah Nobel menjelang tahun 2057 sempena sambutan 100 tahun kemerdekaan negara. 

Bagi mencapai sasaran itu, Ahmad Zahid menyeru semua penerbit dan penulis buku untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa. 

Karyawan dalam genre fiksyen misalnya, juga perlu mengorak langkah dan bekerjasama bersama penerbit filem bagi menghasilkan filem dan telenovela bertaraf antarabangsa.

“Hasilkan karya yang menjadi siulan masyarakat antarabangsa dan pada ketika itu (memenangi hadiah Nobel), kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa, ideologi, budaya dan agama akan berasa bangga berada di bawah negara Malaysia,” kata beliau.

Majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis dan Pengerusi YPBN Hasan Hamzah.

Beliau berkata karyawan negara masih melihat pasaran buku terlalu kecil tanpa menjelajah ke dalam bentuk lain seperti diadaptasikan ke filem yang mampu menarik perhatian orang ramai.

Sebagai contoh, kata Ahmad Zahid, novel seperti Harry Potter yang diangkat ke layar perak berjaya mencatat kutipan “box office” sekali gus mencapai audiens yang lebih besar.

“Kita masih berada di bawah kepompong… mungkin kerana berasa terlalu kecil untuk menterjemah karya ke peringkat antarabangsa dan dijadikan bahan-bahan filem untuk tontonan masyarakat global,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid turut meminta penggiat filem negara menghasilkan filem-filem karya penulis di negara ini. – Suraya Ahmad, Faizal Dato Badarudin (WD MY)

?

LEAVE A REPLY