PUTRAJAYA, 19 Jun – Sasaran….. Pihak Kerajaan menaikkan sasaran pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara daripada 100,000 unit kepada 200,000 unit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, pembinaan yang disasarkan siap menjelang 2020 itu adalah usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan serta keselesaan penjawat awam sentiasa terjaga.

“Adalah menjadi impian dan idaman setiap insan, lebih-lebih lagi mereka yang sudah berkeluarga untuk memiliki sebuah rumah yang bersesuaian dengan selera mereka (penjawat awam).

“Saya anggap projek ini antara yang terbaik yang disediakan oleh kerajaan, jadi beruntung mereka yang mendapat rumah kediaman PPA1M Selasih ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Kunci PPA1M Selasih, Presint 17 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa Dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Pada April 2013 lalu, kerajaan bersetuju membina 100,000 unit kediaman di bawah PPA1M di seluruh negara.

Harga PPA1M yang ditawarkan adalah lebih rendah daripada harga pasaran dan bernilai di antara RM150,000 hingga RM300,000 mengikut keluasan.

Nilai subsidi yang disediakan kerajaan adalah di antara RM25,000 hingga RM38,000 seunit, bergantung kepada keluasan. – WD MY