KUALA LUMPUR, 25 Jan – Sasarkan…. Pihak Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) meletakkan sasaran pulangan ekonomi RM17 bilion kepada negara pada tahun ini, berbanding RM13.3 bilion yang dicatatkan tahun lalu.
Komponen dalam pengiraan Manfaat Ekonomi itu termasuk Impak Pengguna (penjimatan kos masa penumpang dan penjimatan kos operasi kenderaan), Impak Bukan Pengguna (penjimatan kos masa bukan pengguna), Impak Alam Sekitar (penjimatan karbon) dan Kesan Pengganda.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz, berkata bagi pelaksanaan transformasi, syarikat merancang untuk mengoptimumkan sumber dan keupayaan bagi menjana pendapatan di luar kutipan tambang, melalui penjanaan hasil daripada aset, menyediakan khidmat perundingan di dalam dan luar negara serta pelbagai aktiviti komersial oleh anak syarikat.
“Menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia, bagaimanapun, masih kekal sebagai keutamaan tertinggi bagi Prasarana, khususnya operasi tren dan bas Rapid KL, yang dikendalikan oleh Rapid Rail dan Rapid Bus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media “Misi dan Aspirasi Prasarana 2017” di sini.
Tahun lalu, tahap kebolehpercayaan perkhidmatan Rapid Rail mencecah 99.7 peratus manakala Rapid Bus merekodkan skor membanggakan 98 peratus.
Ia dikira mengikut standard antarabangsa yang ditetapkan oleh CoMET Nova bagi rel dan International Bus Benchmarking Group (IBBG) bagi bas.
Indeks Kepuasan Pelanggan (GSI) bagi 2016, yang diukur berdasarkan kaji selidik sebuah badan bebas, adalah 82.8 peratus bagi Rapid Rail, manakala Rapid Bus pula mencatatkan skor lebih baik 87.8 peratus. – WD MY