KOTA KINABALU, 15 Dis – Pasukan keselamatan Filipina menemui satu mayat tanpa kepala dalam keadaan reput di sebuah kawasan di Pulau Jolo di selatan negara jiran itu, malam tadi.

Menurut sumber polis Bukit Aman berkata, pihak berkuasa Filipina kini menyiasat untuk mengenal pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan Bernard Then Ted Fen, 39, warga Malaysia yang dilaporkan dipenggal kumpulan penculiknya, bulan lalu.

“Kita difahamkan bahagian badan tanpa kepala ditemui pada malam tadi di sebuah kawasan di Pulau Jolo, mereka (pasukan keselamatan Filipina) dakwa ada kaitan dengan Ted Fen.

“Bagaimanapun, kita belum dapat mengesahkan sama ada badan yang ditemui itu adalah milik Ted Fen, sehingga keputusan DNA diperoleh daripada pihak berkuasa Filipina,” katanya ketika dihubungi media.

Pada 19 November lalu, pasukan keselamatan Filipina dilaporkan menemui mayat tanpa kepala serta satu kepala, masing-masing di lokasi berasingan pada jarak kira-kira 30 kilometer di Indanan.

Jurucakap Pasukan Petugas Bersama Zambasulta, Kapten Vincent Trinidad, dilaporkan berkata kedua-dua bahagian badan itu diserahkan kepada pasukan petugas tentera untuk tindakan selanjutnya.

Difahamkan, pihak berkuasa Malaysia dan Filipina belum mengesahkan identiti mayat dikatakan milik Ted Fen yang ditemui lebih sebulan lalu.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY