KOTA KINABALU, 11 Feb – Satu Penipuan…….. Penyebaran cerita kononnya ada menteri kanan persekutuan meletak jawatan adalah pembohongan yang sengaja direka Menteri Besar Selangor, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, susulan kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu, timbul spekulasi kononnya menteri terbabit adalah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, semata-mata untuk membohongi rakyat.

“Malam tadi ramai melihat saya dan Anifah bergambar. Hari ini beliau bertolak ke Brussels untuk mewakili Malaysia dalam satu program antarabangsa di sana.

“Ertinya menteri besar (Selangor) cuba membohongi rakyat dengan berita yang tidak benar.

“Malah saya telah memuat naik gambar bersama Anifah satu majlis yang kami hadiri bersama Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman) malam tadi,” katanya pada sidang media hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai merujuk kepada dakwaan yang disebarkan melalui akaun laman sosial Mohamed Azmin yang mendakwa ada menteri kanan akan meletak jawatan.

Beberapa blog kemudian membuat spekulasi kononnya menteri kanan terbabit adalah Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis. – WD MY