KUALA LUMPUR, 28 Feb – Beli Kepentingan….. PETRONAS dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) memeterai Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bagi membolehkan syarikat minyak Saudi itu membeli sebahagian ekuiti dalam aset projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Johor.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Nilai pembelian ekuiti oleh Saudi Aramco itu ialah AS$7 bilion (RM31 bilion). Projek RAPID adalah sebahagian daripada PIC yang dibangun dan dikendalikan oleh PETRONAS.

Ia bakal menjadi hab industri minyak dan gas hiliran serantau serta membuka era baharu pembangunan ekonomi dan teknologi di rantau Asia.

Perkongsian antara Saudi Aramco dan PETRONAS menandakan permulaan hubungan strategik dan membawa manfaat kepada kedua-dua syarikat, sekali gus memberikan sokongan kukuh dan sinergi kepada RAPID.

Perjanjian itu dimeterai oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H Nasser dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Ia disaksikan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Majlis dilangsungkan sempena lawatan rasmi Raja Salman ke Malaysia.

Turut hadir ialah Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian Arab Saudi, Khalid Al-Falih yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Saudi Aramco.

Di bawah perkongsian itu, Saudi Aramco akan membekalkan hingga 70 peratus keperluan minyak mentah bagi loji penapisan RAPID, manakala gas asli, tenaga dan utiliti lain akan dibekalkan PETRONAS. – WD MY