Saya Ada Rakaman Perbualan Dengan Tun Mahathir Kata TPM Ahmad Zahid

0
88

JERLUN 4 Ogos – Bukti…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa beliau mempunyai rakaman perbualan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan pada 2015 berhubung strateginya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata, sebagai seorang yang pernah dimasukkan ke dalam penjara di bawah ISA pada 1998 oleh bekas Perdana Menteri itu, beliau terpaksa bertindak demikian untuk memastikan tidak kembali terjerat dalam permainan politiknya.

Beliau turut mendedahkan bahawa pertemuan berkenaan juga adalah dengan keizinan Najib selepas 10 hari beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya rakam perbualan daripada pertemuan itu dan rakaman itu masih ada dalam simpanan saya.

“Pemimpin itu mengatakan bahawa beliau akan bekerjasama dengan pemimpin UMNO untuk buat undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri dan keduanya, jika tidak berjaya beliau akan buat memorandum kepada Raja-raja Melayu untuk mohon Yang di-Pertuan Agong pecat Najib.

“Tetapi dua tahun kemudian beliau kata saya yang cuba jatuhkan Perdana Menteri.

“Jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Yang bohong adalah orang itu. Apa logiknya saya nak jatuhkan Perdana Menteri selepas 10 hari dilantik timbalannya,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini hari ini.

Pada majlis sama Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi naik taraf Masjid Nur Salam di sini.

Berucap lanjut Ahmad Zahid berkata, semua ahli UMNO perlu istiqamah dan wala’ kepada pemimpinnya.

Hadir sama, Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abu Hasan Sarif; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz merangkap Timbalan Menteri Kewangan dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Datuk Maznah Hamid. – WD MY