PUTRAJAYA, 4 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan terus wala’ dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menghadapi segala ujian.

Ahmad Zahid berkata, Perdana Menteri terpaksa berdepan pelbagai fitnah dalam tugasnya mentadbir negara dan beliau sebagai orang nombor dua juga turut terkena tempiasnya.

“Saya tidak akan tinggalkan Perdana Menteri keseorangan menghadapi mehnah (ujian) ini.

“Konsep wala’ dan taat inilah yang saya terjemahkan. Perdana Menteri turut mengingatkan kita supaya tidak setia membuta tuli,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 – Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, politik kini sudah menjadi medan fitnah dan maki serta berkonspirasi, bukan lagi untuk bermuafakat.

“Inilah realiti politik dan suasana mutakhir serta zaman ini. Masing-masing berusaha melepas diri dan seronok menyebar serta melayangkan fitnah,” katanya.

Hadir sama,┬áMenteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Tan Sri Dr Abdullah Md Zin. – WD MY