PUTRAJAYA, 4 April – Hormati……Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan melihat semula alasan pembatalan debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang dibuat pihak polis Selangor dan Perak.

Katanya, keputusan membatalkan debat itu dibuat sepenuhnya oleh Ketua Polis Selangor dan Pemangku Ketua Polis Perak secara operasi dan tidak merujuk kepada beliau.

Ahmad Zahid juga mengulas bahawa semua pihak perlu berlapang dada mengenai apa juga keputusan kerajaan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164).

Beliau berkata kerajaan menghormati pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menggesa supaya pembentangan RUU itu ditangguhkan dan fatwa yang dikeluarkan mengenainya sebelum itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan melihat bahawa kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.

“Kita menghormati agama dan hak semua kaum. Dalam soal ini, keputusan kerajaan berdasarkan kepentingan negara.

“Saya akan berbincang dengan Datuk Seri Azalina Othman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang akan diberi tanggungjawab membentangkan RUU itu (berhubung gesaan Harussani),” katanya.

Semalam, Harussani menggesa kerajaan menangguhkan RUU berkenaan kerana ada pindaannya bertentangan dengan Perlembagaan dan hukum syarak serta dianggap memperlekeh dan menghina Islam. – WD MY