KUALA LUMPUR, MAC 18:BERCERAI…Penyanyi, Mimifly, akui beliau bertambah bahagia selepas bercerai dengan bekas suami, Mohd Firdaus Hajar, Disember lalu.

Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham, berkata dirinya berusaha untuk bangun semula selepas perpisahan itu dan kini bersedia memberikan tumpuan kepada kerjaya seni.

“Syukur saya sudah melupakan kisah perpisahan itu dan sekarang bangkit dengan single solo berjudul Superfly. Saya menulis sendiri lirik lagu ini bersama Omar K, Shazee Ishak dan Audi Mok.

Beliau bekata sudah semestinya beliau sedih dengan apa yang berlaku, apatah lagi dua tahun dirinya berkongsi hidup dengan lelaki terbabit.

“Dua tahun saya hidup bersama Firdaus, jadi tipulah kalau ia tidak memberi apa-apa kesan kepada saya. Namun, sekarang saya semakin positif. Bukan saya seorang saja yang hidup sendiri, malah ramai lagi wanita sama seperti saya yang berjaya di luar sana,” katanya.

Mimi yang berkahwin dengan pengurusnya dan One Nation Emcees (ONE) pada 16 Mei 2015 itu berkata, perpisahan berlaku berikutan tiada lagi persefahaman antara mereka.

Sementara itu, Mimi menyangkal tanggapan kononnya ONE sudah pun dibubarkan.

Katanya, beliau kini bergerak solo berikutan anggota lain kumpulan terbabit memutuskan untuk berehat seketika.

“Tidak mungkin saya membenarkan ONE dibubarkan, lagipun kami sudah 10 tahun bersama. Terlalu banyak keringat saya curahkan bagi membangunkan kumpulan ini dan saya akan mencuba sebaik mungkin untuk mengekalkannya.

“Buat waktu ini, Jojo dan Zydee sibuk dengan perniagaan masing-masing. Jadi, saya mengambil keputusan untuk fokus dengan kerjaya solo dulu.

“Apabila perniagaan mereka sudah stabil nanti, insya-Allah kami akan kembali beraksi,” katanya.- MY WD