SHAH ALAM, DISEMBER 13: MELAYU… “Saya seorang Melayu yang tidak lupa”, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada moderator, Tan Sri Johan Jaafar berkaitan amanatnya yang menjadi kontroversi suatu ketika dahulu.

“Amanat Datuk Seri itu dikatakan menjadi perpecahan ummah sampai ada dua imam di Terengganu,” soalnya.

Menurut Abdul Hadi perpecahan sudah berlaku sejak zaman Nabi Adam A.S.

“Saya seorang Melayu yang tidak lupa. Saya baca sejarah, manusia berpecah sejak anak Nabi Adam, Qabil dan Habil, zaman Nabi Musa AS sehingga Nabi kata umat ketika itu berpecah kepada 73 puak.

“Kemudian zaman Nabi Muhammad SAW berpecah lagi, selepas Nabi wafat berlaku perpecahan,” katanya pada Bicara Minda di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Menurutnya, masalah perpecahan dalam kalangan umat Islam boleh diselesaikan.

“Perpecahan ini ada dua. Pertama perpecahan yang tidak diizinkan, perpecahan perkara dasar, prinsip, matlamat yang kukuh. Perpecahan perkara cabang, itu diizinkan. Kita boleh membezakan kedua-dua ini.

“Bagi orang Islam boleh selesai masalah perpecahan ini, ALLAH mengatakan kalau kamu bertelingkah, kembali kepada al-Quran, Hadis tentukan siapa salah. Bincang melalui petunjuk ini, umat Islam boleh menyelesaikan masalah mereka,” katanya.-MY WD