KUALA LUMPUR, NOVEMBER 13: BASUH BAJU…Remeh namun ‘berbisa’ dan boleh mengancam kebahagiaan. Itu yang dapat difahami daripada penjelasan Kementerian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam.

Menurut timbalan menterinya, Hannah Yeoh, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menunjukkan ada hal-hal yang lazim dan kecil boleh menyumbang kepada masalah rumahtangga sehingga membawa perceraian.

Antaranya, isteri gemar membasuh baju pada waktu malam, suka mengikuti rombongan beramai-ramai dan tabiat makan dalam kereta.

Penjelasan itu menyebabkan anggota Dewan Rakyat ketawa.

“Saya pun basuh baju malam-malam,” kata Yeoh secara spontan, sebelum dicelah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming: “(Timbalan) menteri, jangan basuh baju malam-malam,”

“Apa nak buat, sidang parlimen selalu habis malam,” jawab Yeoh sambil tersenyum.

Beliau juga berkata punca lain yang membawa perceraian ialah berbeza fahaman politik, pasangan berdengkur semasa tidur dan suami atau isteri suka membeli-belah.-MY WD