BAGAN DATUK, 9 Jan – Kekalkan…… Elemen tradisional perlu terus dikekalkan
dalam pembangunan Bagan Datuk yang secara rasmi diisytiharkan sebagai daerah
pentadbiran ke-12 di Perak hari ini kata
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ahmad Zahid dengan
perimbangan antara sistem pentadbiran dan elemen nilai-nilai tradisional, ia
diyakini dapat memantapkan pembangunan di daerah Bagan Datuk.
“Eleman tradisional perlu dikekalkan terutama yang menyentuh tentang
kedaulatan dan kesultanan. Kita tidak menolak dunia tapi pada masa sama
mendokong akhirat,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berucap pada majlis
pengisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah pentadbiran ke-12 oleh Sultan Perak
Sultan Nazrin Shah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid meminta semua pihak sama ada yang sehaluan
dengannya atau sebaliknya supaya dapat memastikan pembangunan daerah Bagan
Datuk dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Kerjasama daripada semua pihak terutama pegawai peringkat Persekutuan dan
negeri amat saya perlukan.

“Saya sendiri akan pantau pembangunan di daerah ini, bukannya campur tangan
tapi sekadar pastikan komitmen yag dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid cadangan supaya Bagan Datuk dijadikan daerah pentadbiran
baharu merupakan satu bentuk jalinan kombinasi erat antara kerajaan Persekutuan
dan negeri kerana ia direalisasikan hanya dalam masa tiga bulan selepas
dibentangkan kepada jemaah menteri pada 16 Mac tahun lalu.
“Dengan komitmen tinggi daripada kerajaan Perak, hanya dalam tempoh tiga
bulan sahaja Bagan Datuk ini diwartakan sebagai daerah pentadbiran baharu iaitu
pada 16 Jun 2016,” katanya. – WD MY