KUALA LUMPUR, FEB 27 – TIDAK PEDULI…. Pengacara dan pelakon yang tidak asing lagi di persada seni, Neelofa tidak peduli kritikan netizen mengenai pemilihan lokasi pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di sebuah kelab hiburanpopular d Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Neelofa memberitahu, kelab malam itu dipilih kerana sesuai dengan tema dan bajet acara yang dianjurkannya.

“Saya membuat keputusan untuk tidak mempedulikan lagi kritikan orang ramai berhubung mana-mana perkara, yang penting saya tahu apa yang dilakukan.

“Lokasi dipilih sesuai dengan tema selepas menyenarai pendek beberapa tempat. Kalau pilih tempat lain, saya perlu keluarkan wang lapan kali ganda bagi memenuhi kehendak tema.

“Sampai bila pun takkan habis kalau terus melayan kecaman netizen. Jadi tahun ini, saya memilih untuk tidak ambil peduli lagi kata-kata orang,” kata Neelofa.

Neelofa ditemui pada majlis pelancaran koleksi hijab terbaharunya, Be Lofa di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak.

Biarpun teruk dikecam dalam media sosial, Neelofa bersyukur segala dirancang lancar dengan kehadiran sahabat handai, keluarga terdekat dan media. – MY WD