KUALA LUMPUR, 3 Okt – “Saya tanggung semua perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuan saya,” menurut Datuk Seri Chairul Anhar, besan kepada Timbalan Perdana Menteri.

Chairul dalam satu kenyataan menjawab tuduhan yang dilemparkan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan menggunakan dana awam dan mengambil kesempatan semasa Lawatan Rasmi beliau ke Jakarta untuk bertemu dan membincangkan masalah bersama kerajaan Republik Indonesia.

Ahmad Zahid melakukan lawatan kerja ke Indonesia sebagai lawatan pertama selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Tuduhan yang mengatakan Ahmad Zahid menyalah gunakan dana awam adalah salah sama sekali dan seperti dijelaskan dalam kenyataan Chairul bahawa majlis perkahwinan anak perempuannya dan anak lelaki Timbalan Perdana Menteri itu di Hotel Ritz di Jakarta, pada 19 September lalu ditanggung sepenuhnya keluarga pengantin perempuan sepenuhnya.

Chairul dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak menerusi media sosial penganjuran majlis berkenaan diadakan dengan menggunakan dana awam.

“Majlis berkenaan 100 peratus dilakukan saya sebagai bapa kepada pengantin perempuan, mengadakan dan membiayainya.

“Saya sebagai ahli perniagaan yang lebih 20 tahun menjalinkan hubungan perniagaan di Indonesia dan di Malaysia, tentu memiliki kawan yang ramai. Semua tetamu yang datang baik dari Malaysia dan Indonesia, saya yang menjemputnya,” kata Chairul.

Tambah beliau, “Acara saya ini adalah daripada pihak pengantin perempuan, bukan acara besan saya iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.”

Beliau berkata, pihak pengantin perempuan yang menyesuaikan tarikh itu dengan jadual waktu kunjungan Timbalan Perdana Menteri ke Jakarta. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY