GEORGETOWN, 21 April – TERIMA….. “Saya tidak kisah dan terima kritikan netizen dengan hati terbuka” kata Konstabel Zaidi Salleh, 52, yang menyelamatkan wanita berusia 28 tahun yang terjun ke laut di Kilometer 9.9 Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, berhampiran Batu Kawan, Rabu lalu.

Anggota polis bantuan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) itu berkata beliau tidak akan melayan kritikan berkenaan kerana perkara paling penting adalah berjaya menyelamatkan nyawa wanita terbabit.

“Saya nak tahu juga bagaimana netizen yang mengkritik saya itu dapat membantu menyelamatkan wanita berkenaan jika mereka berada di tempat saya.

“Saya ingin belajar daripada mereka kerana mungkin mereka mempunyai ilmu yang lebih hebat. Saya cuma lelaki biasa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Zaidi bersama dua lagi rakannya yang turut menyertai misi menyelamat wanita berkenaan, diraikan dalam majlis anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Zaidi bersama Konstabel Mohd Fitri Abu Hasan dan Konstabel Megat Taufik Megat Kamaruddin, masing-masing menerima sijil penghargaan dan sumbangan wang tunai daripada MKN.

Video detik cemas yang memaparkan Zaidi sedang menyelamatkan wanita berkenaan tersebar di laman sosial sejak hari kejadian.

Bagaimanapun, ia mengundang kritikan netizen yang mendakwa Zaidi tidak mengikut prosedur menyelamat dengan betul.

Zaidi yang juga bekas anggota komando Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berkata kejayaannya menyelamatkan wanita itu adalah hasil latihannya semasa berkhidmat sebagai anggota tentera lebih 20 tahun.

Katanya, beliau menggunakan apa saja kelengkapan yang ada dalam kenderaan penyelenggaraan untuk menyelamatkan mangsa.

“Pada mulanya saya menggunakan kabel tunda untuk turun tetapi ia tidak sampai ke tiang konkrit jambatan.

“Saya juga menggunakan tong berisi air yang berada di dalam kenderaan saya, sebagai pengganti kepada pelampung,” katanya.

Beliau berada bersama mangsa di tengah laut hampir 45 minit sebelum bantuan tiba dan dibawa ke jeti dengan bot nelayan yang kebetulan berhampiran lokasi. – WD MY