KUALA LUMPUR, 4 Dis –  FAKTOR……  Sayap Wanita UMNO merupakan faktor utama kelangsungan parti sejak 71 tahun lalu, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata pergerakan itu merupakan tulang belakang UMNO seperti yang pernah diakui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

“Daripada kira-kira 3.6 juta anggota parti, separuh adalah wanita. UMNO berusia 71 tahun dan kita sebenarnya adalah parti yang paling lama memegang kuasa di dunia,” katanya berucap pada jamuan malam bersempena Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik (WIPKL) 2017,malam tadi.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Dianjurkan oleh Wanita UMNO, persidangan sehari itu yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO, akan dirasmikan oleh Najib hari ini.

WIPKL pertama kali diadakan pada 2015 semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN.

 

Tengku Adnan berharap peserta persidangan akan terus menghidupkan jaringan tersebut serta saling berkongsi pandangan dan bertukar idea mengenai pelbagai isu apabila persidangan itu berakhir.

Persidangan yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra itu dijangka menampilkan penceramah dari 18 negara dan 27 parti politik termasuk dari Amerika Syarikat , Uganda, Palestin, Mauritius dan Kyrgyzstan.

Antara penceramah terbabit ialah Ketua Whip Kerajaan Uganda Ruth Nankabirwa; Menteri Tenaga Manusia kedua Singapura Josephine Teo dan Pengarah Serantau Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik Dr Miwa Kato. Persidangan yang dijangka disertai 1,000 perwakilan itu akan membincangkan tentang kepentingan kesaksamaan substantif dan kepimpinan wanita dalam dunia yang terkesan dengan Revolusi Industri 4.0.

Ia juga akan menyediakan peluang kepada perwakilan untuk menjalinkan hubungan baharu selain menggalakkan perbincangan mengenai isu-isu wanita dan politik. – WD MY