KULAI, 19 Dis – Panggil…… Pihak Polis sudah memanggil dan merekodkan keterangan 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai menerima dana asing bertujuan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menjatuhkan kerajaan kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurut beliau, pihaknya juga akan membentangkan laporan interim kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan perkara itu dalam tempoh terdekat.

Katanya, sehingga kini sebanyak 15 daripada 20 NGO seperti dimaklumkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Jumaat lalu, sudah dipanggil memberi keterangan.

“Sekurang-kurangnya kita sedang menyiasat 15 NGO ketika ini dan siasatan akan diteruskan sehingga laporan penuh mengenai perkara ini dapat disiapkan secepat mungkin.

“Ada NGO tiada kaitan politik, ada yang gunakan nama kononnya tidak ada kaitan dengan politik tetapi apabila disiasat ada kaitannya, jadi itu biarlah kita (polis) buat siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Polis Bantuan Malaysia ke-28 di sini, hari ini.

Katanya, siasatan yang dijalankan sejak bulan lalu mendapati dana berkenaan diterima NGO terbabit sama ada daripada individu tertentu mahupun organisasi yang berpusat di luar negara.

Khalid berkata, pihaknya mengingatkan NGO memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis jika dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“NGO tidak perlu takut jika tidak menggunakan dana yang diterima untuk tujuan melanggar peraturan dan undang-undang, tetapi jika digunakan untuk mengancam demokrasi berparlimen di negara ini, itu (mereka) patut risau,” katanya. – WD MY