KUALA LUMPUR, 27 Nov – Sebanyak 160,000 daripada sejuta unit
rumah mampu milik yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam akujanji
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) siap dibina setakat 30 Sept lepas.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sememangnya
komited meneruskan projek perumahan berkenaan kerana perkara itu dekat di hati
rakyat walaupun menghadapi cabaran ekoran keadaan ekonomi tidak menentu
berikutan penguncupan ekonomi China serta ketidaktentuan dalam kadar faedah
Amerika Syarikat yang memberi kesan kepada nilai ringgit.

“Sebagai sebuah kerajaan, BN telah memuatkan dalam akujanji pilihan raya
ke-13 di mana kita telah membuat pengakuan dalam tempoh masa lima tahun kita
akan bina satu juta rumah mampu milik di seluruh negara.

“Tugas utama diberikan kepada PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) di mana
PR1MA dikehendaki membina 500,000 rumah mampu milik di seluruh negara. Setakat
30 Sept 2015, sekitar 16 peratus daripada satu juta rumah mampu milik yang
dijanjikan telah siap dibina,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Rumah
PR1MA 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir pada ekspo tiga hari bermula hari ini itu ialah Menteri Wilayah
Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA
Datuk Abdul Mutalib Alias.

Najib berkata penyediaan projek perumahan PR1MA yang harganya 20 peratus
lebih rendah daripada harga pasaran juga merupakan satu cara kerajaan berkongsi
kekayaan negara dengan rakyat.

“Kalau aset itu dalam bentuk rumah, nilai pasarannya lebih tinggi daripada
apa yang kita beli, sudah tentu dapat sahaja sebuah rumah PR1MA, maka kita sudah
dapat keuntungan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata projek perumahan berkenaan mendapat sambutan yang luar biasa
seperti “pisang goreng panas” sehingga menerima permohonan melebihi unit rumah
yang ditawarkan.

Sebagai contoh, katanya, projek PR1MA di Alam Damai, Cheras sebanyak 2,000
unit menerima permohonan lima kali ganda manakala di Jalan Jubilee, Bukit
Bintang yang berjumlah 543 unit menerima permohonan sebanyak 25 kali ganda.

Perdana Menteri turut meminta kerajaan-kerajaan negeri memberikan kerjasama
dalam pembangunan projek perumahan mampu milik bagi memberikan kemudahan kepada
rakyat untuk memiliki rumah.

“Umpamanya kerajaan negeri Sarawak telah memberi kelonggaran terhadap dasar
kepadatan kepada pembangunan PR1MA untuk membantu mengurangkan kos pembinaan
kediaman PR1MA sebanyak 20 peratus dengan tambahan nisbah plot, kita akan dapat
kurangkan kos kepada PR1MA, begitulah juga negeri Kedah, Melaka dan Negeri
Sembilan menyediakan satu pusat sehenti,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY