KUALA LUMPUR 23 Jan – Bergabung…. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa 596 buah koperasi kredit pada ketika ini untuk bergabung bagi memantapkan aset, pinjaman dan pasaran yang lebih besar kata┬áDatuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata, pihaknya menjangkakan selepas penggabungan, jumlah koperasi kredit akan menjadi sekurang-kurangnya satu per tiga atau kira-kira 200 buah koperasi kredit sahaja.

“Pada tahun 2015, unjuran pendapatan sektor ini adalah sebanyak RM80 bilion. Bagaimanapun, 70 peratus daripadanya disumbangkan oleh koperasi kredit Bank Rakyat dan Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad (CBP).

“Oleh itu, saya menggalakkan mereka (koperasi kredit) bergabung mengikut kaedah yang mereka mampu secara sukarela supaya koperasi kredit lebih besar dapat ditubuhkan untuk memberi kekuatan melakukan pasaran yang mapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Kewangan Koperasi 2016-2020 di Sasana Kijang, di sini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, Akta Koperasi 1993 akan dipinda dan dibentangkan di Parlimen Jun ini bagi menambah baik sektor koperasi negara.

“Dalam hal ini saya telah mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) agar mempercepatkan kajian semula akta tersebut. Mana-mana peruntukan yang menghalng peruntukan koperasi sektor kewangan perlu diteliti semula.

Sehubungan itu, katanya, pindaan akta berkenaan akan memperketat kelemahan atau ‘loophole’ yang ada sebelum ini.

“Apabila kita laksanakan akta itu nanti, koperasi-koperasi kecil terpaksa bergabung dan mencari rakan niaga untuk melebarkan pasaran. Semua langkah ini dilihat mampu dijadikan kekuatan dan mengukuhkan sektor koperasi,” katanya. – WD MY