KOTA KINABALU, 3 April – Bermula esok, 77 sekolah termasuk 60 sekolah rendah di daerah Beaufort, Papar dan Kuala Penyu di negeri ini, diarahkan tutup esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat di tiga daerah berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Maimunah Suhaibul, berkata ia membabitkan 21,013 murid dan pelajar dengan setakat ini penutupan hanya pada esok, namun guru dan kakitangan lain akan bertugas seperti biasa.

“Saya sendiri turun padang melihat keadaan di tiga daerah itu hari ini dan mendapati ada sesetengah tempat khususnya kawasan tanah gambut di Bongawan masih terbakar.

“Selain itu, saya dimaklumkan keadaan asap tebal dan agak gelap lazimnya berlaku pada waktu pagi dan petang. Ini sekali gus mendapat banyak aduan daripada ibu bapa.

“Sebab itu, kita mengambil keputusan menutup 77 sekolah di tiga daerah itu esok. Jika keadaan memuaskan, sekolah akan beroperasi semula pada Selasa ini,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Bacaan IPU di tiga daerah itu melebihi 200 semalam.

Daripada 77 sekolah itu, sebanyak 53 adalah di daerah Beaufort manakala 14 di Kuala Penyu dan 10 di Papar.

Sementara itu, perangkaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menunjukkan sebanyak 2,484 kes kebakaran terbuka dilaporkan sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Setakat tiga hari pertama April, sebanyak 585 kes kebakaran terbuka dilaporkan dengan kebanyakannya di Papar dan Penampang. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY