PUTRAJAYA, 19 Dis – Direkodkan….. Sebanyak 97 kes berkaitan pemerdagangan orang
direkodkan pada 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan perkara itu ketika
mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Majlis
Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) di sini hari ini.
Sabitan kes berkenaan terdiri daripada 76 sabitan kes pemerdagangan orang,
sembilan sabitan di bawah kes penyeludupan migran termasuk kes di Wang Kelian
dan 12 sabitan kes di bawah Akta Imigresen, Kanun Keseksaan dan akta lain yang
berkaitan, katanya.

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat dan komitmen berterusan ahli MAPO
terutama melibatkan timbalan-timbalan pendakwa raya, pegawai penguatkuasa dan
pegawai pelindung kepada mangsa pemerdagangan orang,” katanya dalam kenyataan
yang dikeluarkan sempena mesyuarat berkenaan.

Ahmad Zahid turut memaklumkan sehingga November tahun ini, 16 mangsa
pemerdagangan orang diberikan kebenaran untuk bergerak bebas oleh MAPO.
Peraturan-Peraturan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran
(Kebenaran untuk Bergerak Bebas dan untuk Bekerja) (Warganegara Asing) 2016
mula dikuatkuasakan pada 4 Mei 2016.
Kerajaan juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Pasukan Petugas Akta
Anti-pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dengan kerjasama
organisasi antarabangsa iaitu Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah
dan Jenayah (UNODC) mulai 2017 bagi memperkasakan siasatan dan penguatkuasaan
ATIPSOM 2007, katanya. – WD MY