PUTRAJAYA, 4 Mac – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan
berkata sebanyak 973,067 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang
ditolak permohonan boleh mengemukakan rayuan selewat-lewatnya sehingga 31 Mac ini.

Menurut beliau rayuan itu perlu dibuat secara manual dengan mengisi borang rayuan yang boleh
dimuat turun melalui ebrim.hasil.gov.my. sebelum mengemukakannya ke 85 cawangan
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kawasan masing-masing.

“Rayuan tidak boleh dibuat secara online kerana pemohon perlu memberi
maklumat atau lampiran sokongan bagi menyokong permohonan mereka,” katanya dalam
sidang media di Kementerian Kewangan hari ini.

Beliau berkata terdapat 36 sebab mengapa permohonan individu ditolak,
antaranya jumlah pendapatan isi rumah pemohon melebihi RM2,000 dan RM4,000
selepas semakan dilakukan dengan agensi berkaitan.

Katanya, nombor kad pengenalan pemohon tidak wujud di Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN), pemohon berstatus kahwin tetapi tiada maklumat pasangan serta
maklumat pasangan dan pasangan disenarai hitam juga menjadi sebab sesuatu
permohonan gagal.

Ahmad berkata setiap pemohon yang gagal dihantar surat dengan disertakan
sebab permohonan ditolak bagi membolehkan mereka menyediakan alasan untuk
dilampirkan bersama borang rayuan yang dikemukakan.

Katanya sebanyak 7.2 juta permohonan BR1M telah diluluskan tahun ini dan
daripada jumlah tersebut, 4.1 juta pemohon layak menerima bantuan berjumlah
RM950, 410,000 bagi bantuan sebanyak RM750 dan RM350 bagi penerima dalam
kalangan 2.7 juta individu bujang.

Berhubung rungutan terdapat 1.4 juta pemohon yang belum menerima bantuan itu
selepas pembayaran dibuat 15 Jan lepas, Ahmad berkata wang berkenaan akan
dimasukkan ke dalam akaun individu terbabit bermula Selasa depan.

Beliau berkata antara punca kelewatan itu sebahagiannya disebabkan pemohon
lewat membuat kemas kini maklumat yang sepatutnya dilakukan sebelum 31 Dis
lepas.

Sebab lain ialah kebanyakan daripada 1.4 juta pemohon tersebut membuat
permohonan menggunakan kaedah manual yang menyukarkan proses pembayaran dibuat
berbanding secara online, katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY