MIRI, 29 April – Lebih RM700 juta Diperuntuk Bina Jalan…….Sejumlah RM743 juta diperuntukkan kerajaan untuk pembinaan jalan di kawasan pedalaman seluruh Sarawak di bawah projek Jiwa Murni Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata projek itu dilaksanakan oleh Kor Jurutera ATM melibatkan jalan sepanjang 1,223km.

“Ia dilakukan sama ada menaik taraf bekas jalan balak kepada jalan luar bandar ataupun melakukan jajaran baharu bagi mewujudkan sambungan kepada jalan sedia ada untuk ke kawasan pedalaman khususnya di rumah panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek Jiwa Murni ATM menaik taraf jalan di Skim Rancangan Sepupuk di Niah, lebih 80km dari sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata peruntukan RM743 juta itu merupakan kelulusan khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disalurkan sebahagian besarnya kepada Kementerian Pertahanan, selain Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ahmad Zahid, bagaimanapun tidak menyatakan bila projek melibatkan peruntukan itu bermula, dan tempoh projek berkenaan. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY