JOHOR BAHRU, 22 Jan – Jangan Sebarkan….. Orang ramai boleh menggunakan aplikasi media sosial untuk menyebarkan maklumat yang boleh membantu pihak berkuasa, termasuk siasatan polis bagi sesuatu kes.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, bagaimanapun memberi amaran, viral dalam media sosial mesti mematuhi undang-undang serta bebas daripada sentiviti perkauman serta anutan agama.

Beliau berkata, orang ramai juga tidak boleh melakukan sesuatu yang melangkaui batas undang-undang dengan bertindak sendiri.

“Masyarakat boleh viralkan sesuatu perkara di media sosial untuk tujuan membantu polis mendapatkan maklumat.

“Media sosial ni ada main peranan mata dan telinga polis, umpamanya, tanpa media sosial kemungkinan video pengawal peribadi Datuk yang memukul pemandu lori itu tidak diketahui,” katanya.

Beliau memberitahu media demikian selepas majlis penyerahan bantuan awal Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan kit pertanian moden bagi Parlimen Pulai, di sini, hari ini.

Sebelum ini, polis meminta orang ramai berhenti menyebarkan isu pemandu lori dibelasah sekumpulan lelaki di tempat letak kenderaan sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, pada Sabtu lalu.

Tindakan itu kata polis, boleh mengganggu siasatan terhadap kes itu. Polis juga kesal dengan tindakan pihak yang mensensasikan kes itu dengan dengan menyebarkan nombor plat sebuah kereta yang didakwa terbabit, sedangkan ia milik orang lain. -WD MY