KUALA LUMPUR, 19 Jan – Latihan…… Kerajaan Malaysia akan memberikan latihan dalam
bidang separa mahir kepada kira-kira 56,000 rakyat Rohingya yang memegang kad
Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya
akan menperincikan pelaksanaan perkara itu supaya golongan itu boleh memohon kad
sementara Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi membolehkan mereka mendapat
peluang pekerjaan.

Katanya langkah itu membolehkan status golongan itu yang dilihat sebagai
liabiliti, bertukar kepada aset dengan menjadi tenaga kerja tambahan, mengikut
keperluan bidang tertentu yang dibenarkan mengikut perundangan.

“Perincian ini sedang dilakukan dan akan saya umumkan dalam masa terdekat,”
katanya kepada media selepas pertemuan dengan Menteri Luar Palestin Riyad
Al-Maliki, di sini hari ini.
Pertemuan itu berlangsung di luar sesi khas Majlis Menteri Luar Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya, yang berlangsung
atas permintaan kerajaan Malaysia.

Ahmad Zahid berkata usaha itu adalah antara komitmen Malaysia yang
diterjemahkan bagi membantu etnik Rohingya serta memberikan sokongan di pentas
antarabangsa.

 Mengenai sokongan Malaysia terhadap Palestin, Ahmad Zahid berkata ia tidak
terhad di pentas PBB sahaja, tetapi meliputi organisasi antarabangsa yang lain
termasuk OIC dalam mencari penyelesaian yang adil, berkekalan, menyeluruh dan
aman terhadap konflik Palestin-Israel.
“Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC, Malaysia sentiasa memainkan
peranan aktif dalam pertubuhan ini bagi menangani isu Palestin di peringkat
antarabangsa. Selain itu, dalam mengurangkan penderitaan rakyat Palestin,
Malaysia juga memberikan sumbangan kepada OIC,” katanya.
Mengenai cadangan penggabungan Hamas dan Fatah, Ahmad Zahid berkata secara
peribadi beliau menyarankan supaya gabungan ini dapat dilakukan demi kepentingan
negara Palestin dan rakyatnya.
“Malaysia terus menyokong hak rakyat Palestin untuk menubuhkan sebuah negara
bebas dengan kewujudan negara Palestin dan Israel secara sebelah-menyebelah
berdasarkan persempadanan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu
negara Palestin,” katanya.
Beliau turut berkata usaha sebuah negara untuk mengalihkan kedutaannya
dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis harus dibantah kerana ia seolah-olah memberi
pengiktirafan kepada pencerobohan yang dilakukan Israel terhadap Palestin. – WD MY