KUALA LUMPUR, NOVEMBER 10: BAPA BAHARU… Sekian lama menyendiri tanpa kehadiran lelaki di sisi, pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein, 38, mengakui hatinya sudah dimiliki.

Elly berkata, perkenalannya dengan jejaka berusia lewat 20-an kira-kira lima bulan lalu turut membawa kebahagiaan kepada anak tunggalnya, Putri Sara Sefhia Azmi yang baru mencecah usia dua tahun.

“Saya anggap hubungan kami masih terbatas sebagai kawan, memandangkan kami baru lima bulan berkenalan. Terlalu awal untuk saya katakan, kami sedang bercinta.

“Namun, melihat keserasian dan penerimaan jejaka itu terhadap Sefhia membuatkan hati saya tersentuh. Selama ini, Sefhia tidak berpeluang merasai kasih sayang seorang ayah.

“Walaupun masih muda, dia matang. Dia juga sangat memahami dan mengambil berat terhadap saya dan anak. Saya tidak pernah rasa bahagia sebegini, malah lebih penting, Sefhia juga gembira,” katanya.

Elly berkata, hatinya terbuka untuk mengenali lelaki itu dengan lebih rapat selepas memikirkan masa depan anaknya.

Melihat keakraban Sefhia dengan teman istimewanya itu, Elly berharap hubungan yang terjalin itu berkekalan dan membawanya kembali ke jenjang pelamin.

“Kali pertama berjumpa, saya bawa Sefhia bersama. Memang pada mulanya, dia agak kekok, tetapi mereka cepat serasi hingga Sefhia memanggilnya papa.

“Ketika bercuti bersama Sefhia di Amsterdam, Belanda, baru-baru ini, dia asyik bertanyakan ‘papa’nya. Mujur panggilan video dapat mengubat kerinduan Sefhia terhadap ‘papa’nya itu,” katanya.

Tidak kisah dipandang sinis apabila menjalin hubungan dengan lelaki yang jauh lebih muda, Elly berkata, dia selesa memekakkan telinga kerana dirinya juga berhak mengecapi bahagia.-MY WD