BUKIT KAYU HITAM, 2 Nov – SELESAI…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Segala masalah kecil berkaitan penyelenggaraan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu bagi fasa satu akan selesai hujung bulan ini.

Beliau berkata pihak kontraktor bagi pembinaan fasa satu kompleks itu telah berjanji untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan seperti jalan berhabuk dan jalan tidak diturap sepenuhnya pada akhir November ini.

“Mereka (kontraktor) berjanji dengan saya akhir bulan ini 100 peratus tercapai (selesai masalah penyelenggaraan),” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Kedua Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara di ICQS itu di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya akan terus memantau pihak kontraktor supaya mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik dalam usaha memastikan pengguna di kompleks itu selesa selepas ia beroperasi sepenuhnya 20 jam sehari bermula semalam.

“Jawatankuasa HLC akan meneruskan tugas, bukan hanya akan pantau fasa satu dan pada waktu sama akan lihat aspek operasi malah aspek keselamatan yang mana perlu dinaik taraf perkhidmatannya bagi kelicinan operasi semua jabatan dan agensi terlibat di kompleks ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata bagi pembinaan fasa dua ICQS itu, ia memerlukan kesiapsiagaan sebaik mungkin dengan menjadikan permasalahan pada pembinaan fasa satu kompleks itu sebagai iktibar untuk memastikan pelaksanaan operasi 24 jam di kompleks itu pada 1 Jan 2019 dapat direalisasikan tanpa sebarang halangan.

“Dua tahun dari sekarang pemaju dan kontraktor harus melakukan tindakan bersepadu supaya sasaran (tersebut) dapat direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Zon Bebas Cukai yang lengkap akan dibangunkan dalam projek fasa tiga kompleks berkenaan dalam usaha membangunkan kawasan sempadan khususnya di Bukit Kayu Hitam.

Katanya pembangunan ICQS Bukit Kayu Hitam yang baharu itu menunjukkan usaha dan komitmen tinggi kerajaan untuk membangunkan kawasan Bukit Kayu Hitam sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab pengangkutan dan logistik bagi rantau ASEAN. – WD MY