KUALA LUMPUR, 22 Mac – Palsu……. Dasar menyekat media membuat laporan di lobi Parlimen kerana wujud pihak mengambil kesempatan dengan menyamar sebagai pemberita untuk tujuan tertentu kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri berkata sekatan berkuat kuasa serta-merta itu diakui mencetuskan rungutan dalam kalangan media dan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, tindakan media menyerbu Ahli Parlimen untuk mendapatkan reaksi spontan berhubung isu tertentu mengundang pelbagai komplikasi, termasuk keselamatan orang kenamaan dan kerahsiaan maklumat segelintir kementerian.

“Kamu ini (media) cerdik kerana masing-masing apabila ditegur akan berlegar macam burung tetapi terus serbu Ahli Parlimen secara tiba-tiba.

“Tindakan menyerbu seperti ini bahaya kerana ada kementerian yang tidak boleh mendedahkan maklumat rahsia sebelum tiba masanya seperti isu membabitkan Kim Jong-nam.

“Selain itu, ada pihak sebelum ini yang dikesan menyamar sebagai pemberita dan turut menyerbu menteri kerana mempunyai matlamat tertentu, termasuk menyerahkan surat rasmi berhubung sesuatu perkara,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini mengeluarkan arahan sekatan kepada media untuk tidak berada di lobi Parlimen berkuat kuasa 12 tengah hari tadi.

Menerusi perintah yang dibuat di Kamar Speaker Dewan Rakyat, Pandikar dilaporkan berkata larangan itu bertujuan menjaga keselamatan Ahli Parlimen dan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Nazri berkata, sekatan itu bagaimanapun menimbulkan kesukaran kepada Ahli Parlimen dan menteri untuk mengadakan sidang akhbar di bilik media yang terletak di bahagian bawah penjuru kanan Parlimen.

“Saya alami sekarang apabila terpaksa diheret setengah kilometer untuk buat sidang media, justeru sebaiknya perlu disediakan tempat khusus kepada pemberita di penjuru kiri aras Dewan Rakyat supaya mewujudkan situasi menang-menang.

“Saya bawa cadangan ini ke Jemaah Kabinet, Ahli Parlimen dan pejabat Speaker Dewan Rakyat untuk pertimbangkan secepat mungkin.

“Selepas ini mana-mana Ahli Parlimen atau menteri yang nak buat sidang media hanya perlu pergi ke lokasi khas itu atau sekadar lambai pada kamu dan teruskan perjalanan jika tiada apa bahan untuk dimaklumkan,” katanya. – WD MY