KUALA LUMPUR, FEB 26 – PASANGAN…Pasangan popular, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin berkongsi kegembiraan perkahwinan seperti dijanjikan, tertunai pada majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi

Bertemakan ‘Fattzura Fairytale’, majlis gilang-gemilang itu menyaksikan pasangan mempelai itu persis putera dan puteri raja melalui busana digayakan selain bersanding di pelamin yang dihiasi indah bak kayangan.

Pada majlis itu, Fazura, 34, anggun mengenakan gaun rona putih meleret serta layah yang menutupi wajah manakala Fattah, 27, mengenakan sut rona hitam hasil sentuhan pereka terkenal, Rizman Ruzaini.

Tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada kumpulan Ruffedge, penyanyi wanita terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari, Dayang Nurfaizah dan Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid.

Selain anggota keluarga dan rakan terdekat, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran selebriti popular antaranya Rozita Che Wan, Zizan Razak, Elfira Loy, Datuk Aznil Nawawi, Izara Aishah, Lisa Surihani, Datin Zizie Ezette, Elaine Daly, Aizat Amdan, Datuk Chef Wan dan Alvin Chong.

Fattah dan Fazura mula berkenalan ketika membintangi drama rantaian, Hero Seorang Cinderella, tahun lalu.

Mereka kemudian mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu sebelum bernikah secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, dua minggu kemudian. – MY WD