SHAH ALAM, 17 SEPT – TUTUP Sebanyak 145 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana akan ditutup esok akibat keadaan jerebu yang semakin serius di negeri ini.

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan malam ini, memaklumkan penutupan sekolah itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 sekolah di Petaling Perdana.

“Seramai 187,928 pelajar terbabit dalam penutupan sekolah esok dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah sudah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 11 malam ini, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Klang (175) dan Banting (167) dan Shah Alam (185).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). – WD MY