PUTRAJAYA, 15 Jun – Tubuhkan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah sekretariat dengan dana awalan sebanyak RM10 juta bagi menyelaras dan merancang aktiviti dalam menguruskan pembangunan berkaitan pendidikan Islam antara persekutuan dengan negeri.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengumumkan perkara itu berkata Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi dipilih sebagai pangkalan atau pusat operasi sekretariat yang akan dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Islam Malaysia (Jakim) bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau berkata penubuhan sekretariat dan pemilihan IPG itu adalah kesinambungan daripada tujuh resolusi yang dipersetujui dalam bengkel pembaharuan Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) yang berlangsung tiga hari sejak Selasa.

“Saya bagi pihak kerajaan menerima semua tujuh resolusi yang hasilkan dan bagi memastikan ia dilaksanakan, sebuah sekretariat di bawah Jakim akan ditubuhkan bagi merancang dan melaksana resolusi yang diputuskan.

“Kita akan jadikan IPG di Bangi sebagai pusat memperhalusi resolusi, merencana dan melaksanakan program berkaitan dengan dana awalan sebanyak RM10 juta yang disumbangkan oleh beberapa pihak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penutupan bengkel pembaharuan Lepai di sini hari ini.

Selain mewujudkan sekretariat bagi meningkatkan kerjasama antara persekutuan dengan negeri dalam mengurus dan membangun perkara berkaitan pendidikan Islam, enam resolusi lain ialah memperkukuh Lepai sebagai badan penyelarasan dan pengiktirafan induk berkenaan dengan pendidikan Islam dan menambah baik Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) secara menyeluruh.

Bengkel itu turut menggariskan penyelarasan dasar kerajaan berhubung bantuan dan kemudahan kepada Sekolah Mengengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), bengkel khas diwujud bagi menyelaras pengiktirafan dan mengawal selia institusi pendidikan pondok serta tahfiz, menubuhkan pusat kecemerlangan bahasa Arab dan mewujudkan tabung dana pendidikan Islam di bawah Lepai menerusi kerjasama strategik antara kerajaan, negeri, badan berkanun, swasta dan individu.

Tambah Ahmad Zahid, beliau yakin resolusi itu telah diberi perincian terbaik oleh cendekiawan yang terlibat di dalam bengkel sebelum beliau dan menteri terlibat mempersembahkannya kepada pengetahuan Majlis Raja-Raja.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menawarkan diri untuk mempengerusikan sekretariat tersebut dan mengadakan mesyuarat setiap enam bulan sekali bagi melihat perkembangan pelaksanaan resolusi selain mencari jalan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dalam melaksanakannya.

Terdahulu ketika berucap, beliau menyarankan program KAFA dijadikan sebagai program wajib kepada semua murid sekolah rendah.

“Sebagai kelas bermulanya pendedahan ilmu agama kepada anak-anak Islam di seluruh negara, KAFA mesti diperkasakan dengan penambahbaikan tertentu, bukan lagi sekadar program pengukuhan kepada subjek Pendidikan Islam dalam kurikulum kebangsaan,” katanya. – WD MY