KUALA LUMPUR, 2 Julai – Sektor pembinaan akan mengekalkan sumbangan
10 hingga 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
tahun ini, didorong oleh projek daripada kementerian dan sektor swasta.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, beberapa projek akan
siap tahun ini, termasuk Lebuh raya Pantai Barat yang sedang dilaksanakan dan
projek-projek lebuh raya lain.

“Di Sarawak sahaja, projek Pan Borneo bernilai RM16 bilion. Jadi, boleh
bayangkanlah limpahan kepada semua sektor yang akan mendapat dan mewujudkan
rantaian bekalan,” katanya.

Fadillah ditemui media pada majlis pelancaran Minggu Keselamatan Sunway 2015
yang dianjurkan Sunway Construction Group Bhd.

Beliau berkata sektor pembinaan akan menjadi sibuk tahun ini dengan projek
MRT, LRT dan projek Perumahan 1Malaysia.

Tambah Fadillah, pada September, kerajaan akan melancarkan Program
Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dalam usahanya untuk meningkatkan
keselamatan dan aspek kesihatan sektor pembinaan.

Bersempena dengan pelancaran hari ini, Sunway Construction dan Lembaga
Pembangunan Industri Pembangunan (CIDB) Malaysia telah menandatangani memorandum
persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam bidang alam sekitar,
keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan.

Di bawah MoU itu, semua projek Sunway Construction akan dinilai oleh
Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC), yang
dibangunkan oleh CIDB.

Skop SHASSIC merangkumi tiga teras utama semak dokumen, pemeriksaan tapak
dan temu bual pekerja.

Sunway Construction juga menyesuaikan rangka kerja SHASSIC ke dalam sistem
Bus Rapid Transit yang dilancarkan baru-baru ini dan pembangunan Sunway
Velocity yang sedang dijalankan yang dijangka siap pada 2018.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY