KUALA LUMPUR, MAC 24:SELANGOR…Kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang mengenakan syarat tambahan kepada pemaju perumahan dan pembeli termasuk yang disifatkan ‘pelik’ menyebabkan kos kediaman meningkat kata┬áDatuk Seri Najib Razak .

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan syarat itu membuatkan pemaju antaranya yang terbabit dalam projek Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia ( PR1MA) terpaksa menanggung kos tambahan sehingga membebankan rakyat untuk membeli rumah.

“Di Selangor dikenakan pelbagai syarat yang menambahkan kos rumah yang dapat dijual oleh PR1MA.

“Jadi apabila ada syarat tambahan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka kos rumah terpaksa dijual oleh PR1MA itu terpaksa ditambah kerana apabila ada syarat tambahan ada kos tambahan.

“(Situasi) Ini juga dialami oleh semua pemaju di negeri Selangor. Di Pulau Pinang pula ada syarat pelik sikit iaitu (pembeli rumah) mesti jadi pengundi di negeri itu baru boleh beli rumah.

“Ini pun syarat yang agak luar biasa yang dikenakan Kerajaan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional – Ke Arah Sejuta Impian, Alami Gaya Hidup Sejahtera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran PR1MA di sini, hari ini.

Justeru, Perdana Menteri berkata Barisan Nasional (BN) akan mengkaji semula syarat tambahan yang membebankan itu jika diberi mandat mentadbir kedua-dua negeri berkenaan pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti bagi mengurangkan kesulitan kepada pemaju dan pembeli rumah.

Beliau berkata ini juga bagi memudahkan proses pembinaan rumah mampu milik sekali gus membantu pemilikan rumah oleh rakyat dalam kelompok B40 dan M40.

“Kita tak cadang untuk menambah syarat-syarat yang akan membawa kepada kos yang lebih tinggi.

“Insya-Allah, jika kita diberi kepercayaan untuk memimpin di negeri Selangor, kita akan kaji semula syarat tambahan yang dikenakan oleh kerajaan negeri bukan sahaja untuk PR1MA, malah pemaju-pemaju rumah lain.

“Ini kerana, kesemuanya (pemaju) telah pun menyuarakan rasa tak puas hati terhadap syarat tambahan yang telah dikenakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Mereka kata (syarat tambahan) menambahkan kos pembinaannya akhirnya rakyat menanggung bebannya,” katanya.-MY WD