SHAH ALAM, 17 Dis – Selangor belum bercadang untuk mengikut langkah Johor dan Kelantan yang mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau sudah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga negeri, Dr Daroyah Alwi untuk menganjurkan bengkel pada awal tahun hadapan bagi membincang kesan penggunaan vape.

“Bengkel yang akan dianjurkan nanti akan menghimpunkan pakar, doktor dari Kementerian Kesihatan, golongan profesional, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak berkaitan.

“Melalui bengkel ini, kita akan dapat tahu kesan kepada kesihatan atau hasil rumusan lain yang diperoleh hasil perbincangan ini.

“Apabila rumusan hasil penganjuran bengkel ini diperoleh, selepas itu kita akan buat keputusan apa tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) di sini, hari ini.

Semalam, Kelantan mengharamkan penjualan vape berkuat kuasa 1 Januari ini.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Dengan larangan itu, Kelantan menjadi negeri kedua selepas Johor mengharamkan penjualan vape. Pada 29 November lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menitahkan pengharaman penjualan dan penutupan semua premis menjual vape di negeri berkenaan, berkuat kuasa 1 Januari ini.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY