BALING, 17 Mac – Selar…… Pergerakan Puteri UMNO menyelar pihak yang cenderung mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara menerusi media sosial.

Naib Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata pucuk pimpinan kerajaan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.

“Letakkan kepercayaan kepada kerajaan untuk melakukan apa yang sewajarnya, ” katanya selepas penyampaian bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di sini, hari ini.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara mulai tegang selepas kes pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Terdahulu pada majlis itu, YPM memperuntukkan RM19,500 bagi membantu golongan sasar membabitkan baucar persekolahan bernilai RM100 kepada 50 pelajar dan sumbangan 90 basikal kepada murid sekolah rendah.

Zahida yang juga Pengerusi YPM berkata, yayasan itu komited untuk terus membantu pelajar miskin di luar bandar supaya mereka turut mempunyai peluang berjaya dalam pelajaran. – WD MY