Selepas Kalah Di Sukan SEA17, Thailand Kaji Punca Prestasi Menurun

0
105

 

BANGKOK, 4 Sept – KAJI….. Beberapa hari selepas berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017), pegawai sukan Thailand mula mengkaji kelemahan yang menyebabkan kejuaraannya di sukan serantau dua tahunan itu terlepas ke tangan Malaysia.

Pegawai sukannya termasuk ketua kontinjen ke sukan itu, Thana Chaiprasit dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Thailand (OCT), Charouck Arirachakaran menggesa dilakukan pembaharuan dan penyusunan semula persatuan sukan bagi mengelakkan prestasi terus menurun.

“Kami perlu mengkaji semula prestasi kami dan cari jalan bagi pembaharuan untuk menuntut kembali keunggulan kami (di Sukan SEA).

“Saya mahukan Lembaga Sukan Thailand (SAT) dan OCT berbincang dengan setiap persatuan sukan,” Thana disebut sebagai menyatakan kepada media tempatan.

Negara tuan rumah, Malaysia yang mengatasi sasaran 111 pingat emas mengutip 145 pingat itu sekali gus mengetepikan johan bertahan, Thailand yang hanya mampu meraih tempat kedua dengan 72 emas, sekalipun meletakkan sasaran 120 pingat emas di sukan itu.

Thailand kurang 48 pingat emas daripada jumlah yang disasarkan, bagi mempertahankan kejuaraan yang dirangkul pada Sukan SEA Singapura dua tahun lalu dengan 95 emas.

Ketua OCT, Charouck turut menggesa dilakukan penyusunan semula persatuan atletik dan renang selepas peserta mereka gagal muncul cemerlang di KL2017.

Beliau memberitahu media tempatan, Thailand pernah gagah dalam kedua-dua sukan itu dengan meraih banyak pingat emas, tetapi pada sukan baru berakhir, ia hanya mampu meraih sembilan pingat emas dalam atletik dan tiga dalam renang.

Selain dua sukan itu, turut mengecewakan ialah gimnastik, boling, memanah dan lawan pedang yang gagal meraih sebarang pingat.

Namun Charouck, memuji pasukan bola sepak yang berjaya mempertahankan pingat emas.

Sementara itu, kerajaan di bawah skim bonus Tabung Pembangunan Sukan Negara untuk atlet Sukan SEA akan menyerahkan 124 juta Baht (RM15.5 juta) kepada 72 pemenang pingat emas, 86 perak dan 88 gangsa.

Seorang pemenang pingat emas akan menerima 200,000 Baht (RM25,000), perak 100,000 Baht (RM12,500) dan gangsa 50,000 Baht (RM6,250).

Menurut media tempatan, bola sepak dijangka menerima jumlah terbesar wang bonus sebanyak 16 juta Baht (RM2 juta). – WD MY